KUALA LUMPUR 15 Julai – Kerajaan tahun lalu membayar gaji lebih RM190,000 kepada pegawai yang sudah meninggalkan sektor awam.
Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, jabatannya mendapati 14 bekas pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dibayar gaji RM193,023.57 pada 2018.
“Kerajaan perlu mengutip balik wang yang dibayar itu,” katanya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 seperti dilaporkan portal FMT hari ini.
Beliau berkata, JKR membayar RM93,095 sebagai pampasan tanah bagi projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur di Kuala Lipis, Pahang.
Jumlah sebenar pampasan hanya RM46,547.50, tetapi pegawai JKR membayar jumlah itu 2 kali disebabkan kecuaian
Katanya, kerajaan cuba mendapatkan RM46,547.50 itu, tetapi gagal.
Nik Azman berkata, jabatannya turut mendapati tiga kes membabitkan wang palsu berjumlah RM250 di Jabatan Pengangkutan Jalan tahun lalu.
Tetapi, tiada laporan polis ditemui atau laporan dibuat kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan berhubung wang palsu itu. – UTUSAN ONLINE











