PETALING JAYA – Ketua jurulatih skuad ragbi wanita tujuh sepasukan (7’s) negara, Nik Safuan Ismade Nik Man percaya ‘senjata’ baharu dimiliki skuad kendaliannya, mampu mencipta kejutan dalam Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.
Bekas pemain ragbi kebangsaan itu berkata pasukannya yang terdiri daripada gabungan pemain baharu dan lama, kini mempunyai lebih satu taktikal permainan sekali gus mampu memberi beberapa pilihan ketika berhadapan pasukan lawan.
Beliau mengakui kemahiran individu tinggi dimiliki barisan pemainnya, turut memberi kelebihan kepada pasukan bagi melaksanakan misi mengatasi pencapaian pingat gangsa sewaktu Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
“Kalau ikutkan perbandingan pasukan 2017 dengan sekarang, pasukan kali ini merupakan gabungan pemain yang cukup baik, kerana melibatkan pemain baharu dan lama.
“Pasukan sekarang juga mempunyai kelebihan dari segi kemahiran individu yang tinggi, di mana kita boleh bermain ‘kick and chase’ dan mengubah rentak permainan mengikut cara pasukan lawan itu bermain.
“Saya percaya kita di landasan tepat untuk mencapai sasaran pingat perak di Filipina,” katanya ditemui di Kejohanan MBPJ-KRS Ladies Seven 2019 yang berlangsung di Padang Astaka di sini, hari ini. – BERNAMA











