RIYADH – Hampir 37,000 jemaah haji dari Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia tiba di Arab Saudi dengan menaiki 90 buah penerbangan dari 4 Julai hingga 11 Julai lalu sebagai sebahagian daripada inisiatif Laluan Mekah, kata Direktorat Besar Pasport Arab Saudi dalam satu kenyataan minggu lalu, lapor akhbar Arab News.
“33 penerbangan membawa seramai 13,317 jemaah haji tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz sementara 57 penerbangan bersama 23,427 jemaah lain tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdul Aziz,” kata direktorat berkenaan selepas seramai 36,744 jemaah haji direkodkan tiba di Arab Saudi sepanjang tempoh itu.
Jemaah haji menerima sambutan mesra daripada semua badan yang mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut bermula dari saat mereka meninggalkan tanah air hinggalah mereka tiba di tempat penginapan masing-masing, sama ada di kota suci Mekah ataupun Madinah, lapor agensi berita Saudi Press.
Inisiatif Laluan Mekah itu dijangka memberi khidmat kepada lebih 225,000 jemaah haji yang datang dari lapangan terbang di Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan Tunisia.
Perkhidmatan itu termasuk pengeluaran visa, pematuhan syarat kesihatan dan proses pengasingan bagasi di lapangan-lapangan terbang di negara asal jemaah haji.
Perkhidmatan tersebut membolehkan jemaah haji melepasi prosedur itu semasa tiba di Arab Saudi supaya dapat terus menuju ke bas-bas yang menunggu untuk membawa mereka ke penginapan masing-masing di Mekah dan Madinah. – Agensi











