KANGAR – Selangor muncul juara Liga Hoki Piala Ketua Polis Negara-TNB 2019 selepas menewaskan juara bertahan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) dengan keputusan 8-2 dalam aksi akhir di Stadium Hoki Kangar, hari ini.
Dalam perlawanan tersebut Muhammad Rahimi Iskandar muncul wira Selangor apabila meledak empat gol ketika membantu pasukannya menewaskan Pulapol.
Jurulatih Selangor, Mohd. Zaki Hushariq berkata, keserasian antara pemainnya adalah faktor utama kemenangan dalam saingan akhir berkenaan.
“Tahun lalu kami kecundang dalam perlawanan suku akhir tetapi pada tahun ini akhirnya kami berjaya memenangi kejohanan ini.
“Meskipun kehilangan beberapa tonggak tetapi beberapa pemain muda yang menyertai pasukan Selangor pada kali ini nyata menyuntik semangat pasukan. “Hasil kerjasama antara setiap pemain akhirnya kami berjaya meraih kemenangan ini,” katanya. Gol pertama Selangor hadir pada awal minit perlawanan menerusi jaringan Mohd. Azmer Mohd Kamal sebelum Pulapol menyamakan kedudukan minit ketujuh hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan bekas pemain kebangsaan, Baljit Singh. Selangor menggandakan usaha dan berjaya menjarakkan jurang selepas memperoleh gol pada minit kesembilan,ke-18 dan ke-40 yang masing-masing dijaringkan oleh Mohd. Azmer Mohd Kamal, Mohd. Faizal Reza Mohd. Nor dan Mohd. Fuad Azis. Skuad hoki Pulapol akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan apabila Selangor melengkapkan kemenangan bergaya menerusi Muhammad Rahimi yang meledak empat gol pada suku ketiga dan keempat perlawanan dengan manakala satu lagi jaringan lawan diperoleh menerusi Baljit. Sementara itu dalam saingan Liga Divisyen Satu menyaksikan Kelantan buat kali pertama berjaya menewaskan Melaka menerusi penentuan penalti 3-2 selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 pada masa sebenar. Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Cawangan Khas PDRM, Datuk Rosly Abas dengan diiringi Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd. – UTUSAN ONLINE











