Polis Kelantan tahan tujuh pengedar dadah - Utusan Malaysia

Polis Kelantan tahan tujuh pengedar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang remaja warga Thailand selain merampas 18,500 biji pil kuda serta pil erimin dan syabu bernilai hampir RM200,000 dalam tiga serbuan berasingan di Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu pada kelmarin.

Dalam serbuan pertama kira-kira pukul 9.30 malam, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Tanah Merah menahan empat lelaki berusia 19 hingga 28 tahun dalam sebuah kereta jenis Proton Putra di Jalan Taman Manal Jaya, Tanah Merah.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, semasa ditahan pihak polis terpaksa menghalang dengan merempuh dari arah hadapan dan belakang menggunakan kenderaan pasukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, empat suspek termasuk remaja warga Thailand itu keluar dari kereta dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan sebelum polis menemui satu beg galas di bahagian brek tangan antara pemandu dan penumpang hadapan.

“Di dalam beg tersebut mengandungi dua bungkusan dibalut plastik lutsinar dan pita pelekat kuning. Di dalamnya terdapat lagi bungkusan-bungkusan plastik biru mengandungi pil kemerahan dan kehijauan disyaki pil yaba atau pil kuda.

“Keempat-empat mereka positif dadah dan sebanyak 12,000 pil kuda yang dirampas daripada kumpulan itu bernilai RM120,000,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, dalam satu lagi serbuan pada pukul 10.45 malam yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pasir Mas berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun menaiki sebuah motosikal Honda EX5 di tepi jalan Kampung Bechah Palas, Bunut Susu bersama 1,300 biji pil kuda bernilai RM13,000.

Sementara itu, beliau berkata, dua lelaki berusia 22 dan 28 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Wakaf Stan di sini pada pukul 11.50 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

“Polis terpaksa bergelut dengan kedua-dua suspek sebelum mereka berjaya ditahan. Dalam pemeriksaan di sebuah bilik polis menemui tiga kotak, satu tin serta satu sampul duit kertas mengandungi dadah.

“Sebanyak 5,200 pil kuda, 55.30 gram syabu serta 150 biji pil erimin 5 bernilai RM62,095 dirampas daripada kedua-dua suspek yang merupakan peniaga,” katanya.

Katanya, enam suspek direman selama tujuh hari manakala seorang suspek yang ditahan di Pasir Mas direman selama enam hari bermula semalam.

“Dua motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha Ego S bernilai RM6,000 yang dirampas di Pasir Mas dan Kota Bharu disita mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” tambahnya. -K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini