KUALA TERENGGANU 14 Julai – UMNO Bahagian Marang memperlihatkan aura tersendiri apabila semakin ramai ahlinya termasuk kalangan pemimpin veteran, Pemuda dan juga penyokong di peringkat akar umbi mulai bangkit memberi sokongan padu kepada parti.
Ketua UMNO bahagian berkenaan, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, apa yang membanggakan kesemua pemimpin parti itu yang melibatkan 152 cawangan semakin positif mengadakan aktiviti dengan harapan UMNO kembali menerajui pucuk pemerintahan negara bagi membantu setiap pemasalahan rakyat.
Malah, Nik Dir berasa terharu apabila enam pemimpin veteran termasuk empat bekas ketua bahagian itu dan juga dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut hadir pada majlis Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Marang di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini semalam.
Katanya, empat bekas ketua bahagian itu ialah Datuk Muda Mamat, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar, Datuk Yahaya Khatib Mohamad dan A. Latiff Awang manakala bekas ADUN pula ialah Datuk Dr. Abdul Latiff Awang (Bukit Payong) dan Yussof Musa (Serada).
Nik Dir menyifatkan kehadiran dan penglibatan tokoh politik veteran berkenaan sebagai mereka yang masih setia kepada parti kerana sehingga ini kesemuanya masih sanggup menjadi ketua di peringkat cawangan masing-masing dengan memberi sokongan dan dokongan tidak berbelah bahagi.
Sehubungan itu beliau mengumumkan keenam-enam tokoh politik veteran itu akan dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat UMNO bahagian berkenaan sepertimana ketetapan dibuat oleh pucuk kepemimpinan parti.
“Kita akan terus menyusun pelbagai program dan memperbetulkan segala kekurangan yang berlaku sebelum ini, namun pada masa yang sama kita akan sentiasa akur terhadap setiap keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan parti demi kebaikan bersama. – UTUSAN ONLINE











