KEMAMAN – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki menggunakan khidmat empat nelayan warga asing tanpa permit kerja sah di perairan Kuala Dungun dekat sini semalam.
Pemeriksaan bot nelayan yang ditahan pada pukul 10.24 pagi itu juga mendapati ia juga melakukan pelbagai kesalahan lain seperti menggunakan pukat tidak dibenarkan iaitu bersaiz mata kurang 38 milimeter dan tidak memiliki alat pengesan vesel penangkapan ikan Jabatan Perikanan.
Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot nelayan itu juga dipercayai telah menggunakan peralatan radio dua hala tanpa kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Bot nelayan tempatan yang menggaji empat nelayan warga Myanmar dan Thailand termasuk tekong berusia 33 hingga 40 tahun tersebut ditahan pada kedudukan 24 batu nautika dari perairan Kuala Dungun.
“APMM telah menyita bot, peralatan menangkap ikan, tiga tan ikan dan 2,000 liter minyak diesel terbabit yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM600,000,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Rashidilhadi berkata, kesemua rampasan terbabit telah ditunda ke Jeti Zon Maritim Kemaman dekat sini untuk siasatan lanjut. – K! ONLINE











