BUTTEWORTH 14 Julai – Polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) menahan seramai dua penagih dadah lelaki bersama sejumlah dadah dalam operasi berasingan di sekitar Butterworth, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek pertama berusia 39 tahun ditahan di tepi jalan di Ujung Batu kira-kira pukul 6.10 petang manakala seorang lagi berusia 56 tahun ditahan di tepi jalan berdekatan Plaza Tol Feri Butterworth, pukul 11.30 malam.
Menurutnya, suspek pertama ditahan bersama dadah jenis heroin seberat kira-kira 20.66 gram (g) bernilai RM750 mankala suspek kedua membawa dadah jenis heroin sebanyak 19.1g bernilai RM570.
“Siasatan mendapati dadah yang dirampas itu adalah untuk kegunaan mereka sendiri selain dijual di sekitar Butterworth,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek yang merupakan penganggur dan nelayan itu positif dadah jenis morfin.
“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) AKta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE











