KUALA LUMPUR 14 Julai – Operasi mengesan pemandu pelancong di Taman Negara Mulu, Roviezal Robin, 20, yang masih hilang akibat banjir kilat di Gua Rusa Mulu, Miri, Sarawak diteruskan hari ini dengan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dibahagikan kepada lima kumpulan.
Utusan Borneo melaporkan, Ketua Bomba Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pasukan SAR memulakan operasi sekitar pukul 8.30 pagi dibahagikan kepada lima kumpulan yang turut dibantu kakitangan Taman Negara Mulu dan penduduk kampung.
Menurutnya, kumpulan SAR pertama akan mengunakan kaedah pencarian mengikuti arus sungai, sweeping dan pencarian di permukaan air ke arah kawasan Deep Pool manakala kumpulan SAR kedua menggunakan teknik pencarian di permukaan sungai di Sungai Gua Rusa sehingga penghujung Gua Rusa.
“Kumpulan SAR ketiga pula akan mencari di celah-celah batu dalam gua sementara SAR keempat pencarian dari sungai gua hingga ke Sungai Paku sementara kumpulan SAR kelima akan menggunakan bot dari Sungai Paku hingga ke Sungai Rusa.
“Kira-kira 68 orang terlibat dalam operasi itu membabitkan 12 anggota operasi dan pegawai kanan bomba, seorang anggota polis, 20 orang kakitangan Taman Negara Mulu dan 35 penduduk kampung.
“Kesemua pasukan SAR telah bergerak meneruskan operasi mencari pukul 8.30 pagi dan pencarian turut disertai oleh abang mangsa, Willvien,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi SAR bagi mencari Roviezal Robin semalam terpaksa ditangguhkan berikutan hujan lebat pada pukul 3.22 petang.
Selain itu, mayat mangsa warganegara Belanda, Peter Hans, 66, ditemukan terapung di dalam sungai kira-kira pukul 6.40 pagi oleh pasukan SAR sebelum diterbangkan dengan helikopter Mi17 Unit Udara Bomba ke Hospital Miri.-UTUSAN ONLINE











