Shamsiah Fakeh bak halilintar - Utusan Malaysia

Shamsiah Fakeh bak halilintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya tidak begitu tahu, apa mulanya saya terpikat dengan politik!” ujar Shamsiah Fakeh.

“Saya diminta berucap dalam perhimpunan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di Seremban!” sambungnya. Ucapan Shamsiah disambut gemuruh. Ucapannya bersemangat bak halilintar. “Keesokan hari sebahagian ucapan saya itu dimuat dalam Utusan Melayu.” Bapanya yang gembira membawa pulang senaskhah Utusan Melayu yang menyiarkan ucapan itu. Pada fikiran Shamsiah yang baru berusia 13 tahun, ayahnya menyokong. Nasib bangsa, negara dan agama yang terjajah sudah saya bela dalam ucapan saya itu. Yang tertanam di lubuk hatinya adalah perjuangan untuk membebaskan bangsanya daripada belenggu penjajahan Inggeris.

SHAMSIAH FAKEH
SHAMSIAH FAKEH 

“Aku mempunyai semangat yang tinggi dan berkobar-kobar untuk berjuang melawan penjajah demi kemerdekaan tanah air dan bangsa kita. Aku tidak takut apa-apa,” tegasnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak sebelum dia berangkat ke Padang Panjang, Shamsiah sudah dididik oleh Lebai Maadah di Madrasah Palangai bersama rakannya Haji Abdul Aziz Hambiah. Selain ilmu agama, Shamsiah diajar ilmu mempertahankan diri, hingga ia bergelar Fakeh.

Ini yang tertanam di lubuk hatinya sewaktu belajar di Sekolah Agama Islam Rahmah al-Yunusiah, Padang Panjang, Sumatera Barat. Dia cuma sempat belajar selama dua tahun sebelum pecah perang dunia yang kedua. Shamsiah pulang ke Malaya.

Shamsiah dilahirkan di Kampung Gemuruh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 1924. Keluarganya tipikal keluarga Melayu yang miskin. Tetapi dia bercita-cita untuk ke sekolah tinggi agama menjejaki Aishah Ghani yang sudah lebih awal ke Diniyah Puteri atau Rahmah Yunusiah itu. Dia sudah mendengar tentang kehebatan Aishah dan ketokohannya itu.

Apabila saya bertemu dengan Wahi Anwar pada 1945 hati saya terbuka untuk menjadi ahli PKMM!” sambungnya. Waktu itu Wahi Anwar menjadi juruhebah di Radio Malaya, kemudian dia bergerak dalam Rejimen Ke-10 cabang Parti Komunis Malaya (PKM) bagi orang Melayu.

Shamsiah terpikat dengan Wahi Anwar yang bersemangat dan komited dalam perjuangannya melawan penjajah Inggeris. Pada 1945 Aishah Ghani menjadi Ketua Angkatan Wanita Sedar (Awas) sayap wanita PKMM. Ahmad Boestamam pula menjadi Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) yang terkenal dengan slogan `Merdeka dengan darah’. Pihak Inggeris memata-matai gerakan API dan Awas. Pada bila-bila waktu sahaja mereka akan ditangkap. Hanya mereka menanti waktu yang sesuai.

Aishah mempunyai perhitungan lain. UMNO berkira-kira menawarkan tempat bagi masa depan kepimpinan pergerakan Wanita UMNO. Tunku Abdul Rahman nampak bakat yang ada pada Aishah Ghani. Apabila Aishah meninggalkan Awas, tempatnya diisi oleh Shamsiah Fakeh yang mempunyai suara halilintar itu. Awas dalam pimpinan Shamsiah Fakeh kian menyengat bukan sahaja berjuang membantai penjajahan Inggeris, tetapi juga suaranya bagi pembebasan dan meningkatkan martabat wanita yang `terkurung dan terpenjara’ selama ini. Kedudukan wanita sama tinggi dengan lelaki, seiringan dengan API yang diketuai oleh Ahmad Boestamam.

Pertemuan Ahmad Boestamam dengan Shamsiah Fakeh yang sama-sama keras dan punyai suara halilintar waktu berucap itu pada waktu yang lain bertemu hati yang dijinakkan oleh asmaradana juga. Mereka sempat berkahwin walaupun dalam waktu yang singkat sahaja antara 1946-1947. Shamsiah Fakeh yang keras dengan pegangannya tidak mahu Ahmad Boestamam membayar denda kerana (Akta Hasutan) yang menjelma dalam novelnya Merangkaklah Senja Menutup Pandangan.

“Tidak! Tidak!” Shamsiah Fakeh menjerit. “Kau tak patut bayar denda itu!”

“Kau mahu aku masuk penjara?”

“Kau takut?” jerkah Shamsiah. Merdeka dengan darah, apa gunanya?”

Dengan tekad berbara dan perbalahan menjadi halilintar, mereka berpisah, dan bercerai. Shamsiah Fakeh dengan tekad masuk ke rimba raya bersama Wahi Anwar yang diminatinya. Dengar satu cerita, bayinya demi keselamatan ditinggalkan begitu sahaja di hutan. Wahi Anwar dan Shamsiah Fakeh berkahwin. Pada 1948 undang-undang darurat diisytiharkan.

Ramai yang ditangkap termasuk Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin al-Hilmy, Ishak Haji Muhammad, Abdul Samad Ahmad. Ahmad Boestamam tak dapat mengelak lagi. Bukan Akta Hasutan lagi, ini benar-benar para pejuang menentang Inggeris dijebak dan diperosok ke penjara. Ramai yang dapat memboloskan diri lari ke Indonesia termasuk Ibrahim Yaakob. Ibrahim menjadi Leftenan kolonel dalam Tentera Nasional Indonesia (TNI). Dan dia mendapat penghargaan sebagai Pahlawan Nasional Indonesia.

Wahi Anwar susup-sasap bersama Shamsiah Fakeh lari menyelamatkan diri sampai ke Lubuk Kawah, Pahang. Di situ Wahi Anwar berjaya dijebak dan dibawa ke penjara. Beritanya hilang begitu sahaja. Shamsiah Fakeh dibuang ke China dan dia diberikan tugas-tugas khas untuk Indonesia dan Vietnam. Dia berkahwin lagi dengan Ibrahim Mohamad, hidup dengan keluarganya aman. Apabila undang-undang darurat dicabut kembali pada 1960 dan pengampunan beramai-ramai ditawarkan. Pejuang nasionalis kiri Shamsiah Fakeh dan suaminya diizinkan pulang ke tanah airnya pada 23 Julai 1994. Ini adalah hasil perjanjian damai antara PKM dengan Malaysia dan Thailand pada 1989.

Sayugia dinyatakan Shamsiah Fakeh berkahwin selama lima kali, suami pertamanya Yasin Kina, waktu Shamsiah berumur 17 tahun, suami keduanya J.M. Rusdi (informer Jepun), ketiga Ahmad Boestamam, keempat Wahi Anwar dan kelima Ibrahim Mohammad. Anak Ibrahim, cucu Shamsiah bernama Jamaliah Jamaludin ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Utama, kini mewarisi bakat politik nendanya. Dalam usia tuanya dia kembali didakap oleh anak, cucu dan keluarganya. Shamsiah sering sakit-sakit pada usia tua dan dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seminggu sebelum meninggal dunia dia mohon keluar dan menetap di rumah anaknya Jamaluddin. Shamsiah Fakeh meninggal dalam tidurnya pada Oktober 2008 dalam usia 84 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini