KEHADIRAN wanita dalam diri seorang lelaki merupakan pelengkap kepada sebuah kehidupan. Bukan sahaja sebagai pendamping di kala kesunyian, malah wanita juga pencetus kepada kebahagiaan.

Peranan dan tugas wanita pada hari ini sangat besar. Bukan sahaja bertindak sebagai ‘pengurus’ keluarga bahagia dan ‘penyelia’ kepada anak-anak, si isteri juga pemacu kejayaan suami.
Sebagai insan bekerjaya, wanita hari ini ternyata sibuk dengan bebanan tugas di tempat kerja dan tugas hakiki menguruskan keluarga di rumah.
Bagaimanapun, seorang isteri jangan menjadikan kerjaya atau pekerjaan itu menyebabkan mereka mengabaikan tugas hakiki lain yang wajib dilaksanakan di rumah.
Menjadi satu kewajipan untuk memberi layanan baik kepada suami dan anak-anaknya kerana tugas utama seorang isteri dan ibu adalah menjaga keharmonian rumah tangga.
Malah keupayaan menguruskan kesemua tugasan dengan baik merupakan bonus besar kepada suami. Tanpa mengabaikan perintah Allah, wanita solehah adalah idaman setiap lelaki.
Pengorbanan besar yang diberikan oleh seorang isteri kepada keluarga dan menjadi pendamping terbaik buat suami akan dicatatkan sebagai satu jihad pada jalan Allah.











