Pegawai kerajaan terlibat pemerdagangan manusia berdepan hukuman berat - Prayuth - Utusan Malaysia

Pegawai kerajaan terlibat pemerdagangan manusia berdepan hukuman berat – Prayuth

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEGAWAI KERAJAAN TERLIBAT DALAM PEMERDAGANGAN MANUSIA BERDEPAN HUKUMAN BERAT – PRAYUTH

BANGKOK 9 Julai – Pegawai kerajaan yang terlibat dalam pemerdagangan manusia di Thailand mesti meletakkan jawatan sementara siasatan dijalankan dan menunggu perbicaraan, Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha mengumumkan hari ini.

Beliau berkata tindakan tegas itu adalah satu lagi usaha untuk memerangi pemerdagangan manusia di negara itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada masa ini, beliau berkata mereka yang didakwa terlibat dalam pemerdagangan manusia hanya dipindahkan ke jabatan lain atau digantung tugas sementara disiasat kerana semua defendan dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan jika mana-mana pegawai kerajaan didakwa melibatkan diri dalam pemerdagangan manusia, mereka mesti meletakkan jawatan dengan segera sementara siasatan dijalankan.

Mereka boleh membela diri di mahkamah. Mereka perlu membuktikan mereka tidak bersalah dalam sistem keadilan, “katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di sini hari ini.

Sebelum ini, Prayuth diberi taklimat mengenai Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) berdasarkan laporan tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat. Thailand kekal di Tahap 2 Pemerhatian dalam laporan terbaharu TIP.

Media tempatan melaporkan bahawa pegawai kerajaan termasuk pegawai polis dan tentera serta ahli politik terlibat dalam pemerdagangan manusia di negara itu. Prayuth bekerja keras untuk meningkatkan ranking Thailand dalam laporan TIP.

“Kita perlu mempercepatkan dalam menangani isu pemerdagangan manusia dalam penguatkuasaan undang-undang serta langkah-langkah punitif,” katanya.

Laporan TIP menyatakan bahawa kerajaan Thailand tidak memenuhi standard minimum dalam beberapa bidang utama kerana mendakwa dan mensabitkan hanya sebilangan kecil pelaku dan menyiasat hanya 43 kes pemerdagangan buruh.

Laporan itu berkata kerajaan menyekat pergerakan dan komunikasi mangsa yang berada di tempat perlindungan kerajaan, persubahatan pegawai terus menghalang usaha memerangi pemerdagangan, dan para pegawai tidak secara konsisten mengenal pasti kes-kes pemerdagangan, terutama pemerdagangan buruh.

Dalam cadangannya, laporan itu berkata kerajaan perlu meningkatkan kapasiti penguatkuasaan undang-undang untuk secara proaktif mendakwa dan mensabitkan pelaku pemerdagangan buruh dan mengenal pasti mangsa pemerdagangan buruh serta menyiasat dan mendakwa pegawai yang didakwa terlibat dalam pemerdagangan, dan mensabitkan dan menghukum mereka yang didapati bersalah dengan hukuman yang setimpal. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini