Johor kekal semula had umur belia 40 tahun - Utusan Malaysia

Johor kekal semula had umur belia 40 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 9 Julai – Tidak sampai 12 jam, kerajaan negeri sekali lagi mengubah pendirian berhubung had umur belia di negeri ini iaitu mengekalkan semula had umur golongan itu kepada 40 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan lanjut dan atas nasihat beberapa pihak.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memperhalusi semula implikasi berkaitan pindaan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia Dan Pembangunan Belia 2007 Akta 668 yang telah diumumkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Justeru, kerajaan negeri mengekalkan semula had umur belia di negeri ini kepada 40 tahun seperti diumumkan terdahulu oleh Menteri Besar Johor semalam sehinggalah akta ini diwartakan pada 2021 nanti.

“Ia bertujuan untuk memastikan tempoh masa persediaan yang mencukupi supaya ia dapat dibuat dengan lebih teliti dan berhati-hati,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menerusi satu kenyataan memaklumkan, kerajaan negeri menetapkan untuk mengekalkan had umur belia di negeri ini antara 15 hingga 40 tahun bagi memastikan pelan perancangan yang sudah dirangka dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, Sheikh Umar menerusi kenyataan pada 2.30 petang tadi memaklumkan, kerajaan negeri menukar pendirian berhubung had umur belia dan menerima baik pindaan umur golongan itu 15 hingga 30 tahun, selaras dengan keputusan dibuat kerajaan pusat.

Menurut Sheikh Umar, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco yang dipengerusikan Dr. Sahruddin Jamal pagi ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini