PUTRAJAYA 9 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seorang wanita Orang Asli berusia 39 tahun meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu kelmarin, akibat dijangkiti measles.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, wanita terbabit sebelum itu telah dirawat di Wad Isolasi Hospital Hulu Terengganu sejak 29 Jun lalu.
Bagaimanapun jelasnya, wanita berkenaan telah dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah kelmarin setelah kesihatannya tidak stabil dan mengalami sesak nafas, namun meninggal dunia pada pukul 7.40 malam pada hari sama.
“Dia telah didiagnosa sebagai septicaemic shock secondary to right lobar pneumonia, dan measles with metabolic acidosis.
“Bedah siasat telah dijalankan untuk mengesahkan sebab kematian. Hasil analisis bedah siasat belum diperolehi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, sejak wabak itu dilaporkan pada 3 Jun lalu sehingga pukul 9 pagi ini, kumulatif kes bergejala yang dilaporkan adalah sebanyak 178 kes, iaitu di Kelantan (147 kes bergejala termasuk 3 kematian), Terengganu (23 kes bergejala dengan satu kematian) dan Pahang (8 kes bergejala, tiada kematian).
Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 88 kes telah disahkan measles melalui ujian makmal, iaitu 67 kes di Kelantan, 17 kes di Terengganu dan 4 kes di Pahang.
“Sehingga pukul 9 pagi ini, empat kes kematian telah dilaporkan kepada KKM, iaitu pertambahan satu kes kematian di Terengganu.
“ Keempat-empat kes kematian ini telah disahkan measles melalui ujian makmal. Selain itu, bedah siasat terhadap 12 lagi mayat yang ditemui oleh pihak polis di Kelantan (tarikh kematian dari 2 Mei hingga 6 Jun 2019) telah dijalankan pada 17 dan 18 Jun lalu oleh pasukan forensik dan punca kematian tidak dapat disahkan (indetermined cause of death).
“Namun begitu, KKM masih lagi menunggu keputusan ujian toksikologi, logam berat dan entomologi yang belum diperolehi,” jelas beliau.
Menurut Dzulkefly lagi, di Kelantan, sehingga pukul 9 pagi ini, , seramai 25 kes masih dirawat, iaitu 24 kes di wad isolasi manakala satu kes dirawat di Unit Rawatan Rapi.
Seramai 76 kes yang bergejala ringan di tempatkan di PLKN Etnobotani, Gua Musang, katanya.
Di Terengganu, pula jelas beliau, sebanyak lima kes masih dirawat di Wad Isolasi Hospital Hulu Terengganu, manakala di Pahang, tiada kes dirawat di hospital.
Tambah beliau, sebagai respons kepada wabak measles ini, aktiviti imunisasi measles kepada komuniti di kawasan-kawasan yang terlibat dan lokaliti berhampiran diteruskan.
“Di samping itu, pendidikan kesihatan juga diteruskan bagi memastikan penduduk Orang Asli faham mengenai gejala jangkitan measles, etika batuk dan kepentingan mendapatkan rawatan awal di klinik kesihatan atau hospital yang berdekatan.
“KKM ingin menyatakan yang wabak ini adalah terkawal. Sebarang perkembangan lanjut mengenai kejadian wabak ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” tambah beliau lagi. – UTUSAN ONLINE











