MADRID – Ketidakpastian tentang isu perpindahan Gareth Bale di Real Madrid, telah mendorong peminat kelab itu melemparkan kata-kata cacian terhadap pemain sayap tersebut, sewaktu dia melapor diri bagi tugas pra-musim, semalam.
Pemain antarabangsa Wales itu antara bintang dalam skuad utama yang melapor diri di pangkalan latihan kelab, Valdebebas, tetapi malangnya kepulangan Bale tidak dialu-alukan semua orang.
Bale bergelut untuk meraih sokongan peminat Real sejak dia tiba dari Tottenham pada 2013 dan laporan di Sepanyol mendakwa, pemain itu menjadi mangsa penghinaan penyokong sewaktu sedang berjalan masuk ke dalam kompleks latihan.
Akhbar harian Sepanyol, AS melaporkan jeritan ‘tidak mengenang budi’ daripada peminat kedengaran, manakala pemain seperti Dani Carvajal diberi tepukan sebaik dia tiba.
Bale, 29, memenangi gelaran Liga Juara-Juara sejak menyertai Real dari Spurs pada 2013 menerusi yuran perpindahan yang pada ketika itu mencatat rekod dunia iaitu sebanyak 89.2 juta pound (RM461 juta).
Bagaimanapun, dia teruk dikritik penyokong dan media Sepanyol, musim lalu selepas gagal menggalas tugas yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo yang menyertai Juventus. Real juga gagal memenangi trofi dan menamatkan saingan La Liga di kedudukan ketiga, 19 mata keciciran di belakang pasukan juara, Barcelona.
Bale hanya disenaraikan dalam kesebelasan utama Real sebanyak lima kali daripada 11 perlawanan terakhir musim lalu dan pemain itu nampaknya tidak lagi menjadi pilihan di bawah pengurus Zinedine Zidane.
Peluang Bale mengekalkan kedudukannya dalam skuad musim depan semakin tipis selepas ketibaan Eden Hazard dari Chelsea dan pemain Brazil, Rodrygo yang menyertai Los Blancos dari Santos.
Namun begitu, ejen Bale, bulan lalu menepis dakwaan bahawa penyerang Wales itu akan meninggalkan Real Madrid secara pinjaman dan berkata, ia memerlukan sesuatu yang luar biasa berlaku bagi memaksa pemain itu meninggalkan ibu kota Sepanyol.
Gaji Bale yang mahal, dipercayai 600,000 pound (RM3.10 juta) seminggu, bermakna tidak banyak kelab yang mampu mendapatkan tandatangannya secara kekal, tetapi ejennya, Jonathan Barnett menolak kebarangkalian pemain itu dipinjamkan dan berkata, dia gembira kekal di Real.
“Saya tidak rasa dia mahu dipinjamkan ke kelab lain. Dia mempunyai kehidupan dan kediaman yang selesa di Sepanyol. Saya fikir sesuatu yang luar biasa sahaja mampu membuat Bale meninggalkan kelab dan dipinjamkan tidak berada dalam perancangannya,” kata Barnett.
Manchester United antara kelab yang memiliki kemampuan untuk menandatangani Bale, tetapi Barnett tidak berasakan perpindahan kelab yang dibimbing oleh Ole Gunnar Solskjaer itu adalah satu keputusan realistik.
“Dia mungkin serasi bermain di sana. Saya berpendapat Bale boleh bermain dengan sangat baik kerana dia masih antara pemain terbaik di dunia. Tetapi rasanya tidak mungkin ia berlaku,” tambahnya. – AGENSI











