KUALA LUMPUR 9 Julai – Pelantikan seorang transgender, Rania Zara Medina sebagai ahli Country Coordinating Mechanism (CCM) Malaysia bagi penggal 2019 hingga 2021 adalah mengikut prosedur sedia ada.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye menegaskan, anggota CCM terdiri daripada 25 individu yang mewakili pemegang taruh seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan wakil komuniti daripada populasi sasar.
Jelas beliau, populasi sasar itu termasuk golongan transgender, lelaki-seks-dengan-lelaki (MSM), pekerja seks wanita, golongan menggunakan dadah dan mereka yang menghidap HIV/AIDS.
“Wakil komuniti populasi sasar dipilih daripada kalangan populasi berkenaan dan disahkan melalui surat lantikan oleh Pengerusi CCM iaitu saya sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.
“Fungsi CCM untuk mengawal HIV/AIDS adalah sejajar dengan Pelan Strategik Nasional untuk menangani wabak berkenaan di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kementerian Kesihatan dilaporkan telah melantik Rania sebagai ahli CCM melalui surat pelantikan rasmi bertarikh 25 Jun lalu.
Surat pelantikan yang ditandatangani Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye itu telah dikongsikan Rania dalam laman Facebook miliknya semalam sehingga mendapat perhatian warga maya.
Rania yang merupakan pemenang ikon Transwomen Malaysia 2017/2018 akan mewakili Malaysia sebagai ahli CCM untuk mendapatkan dana daripada GlobalFund iaitu sebuah badan kewangan antarabangsa yang komited melaburkan dana untuk menghentikan epidemik HIV, AIDS, Tuberkulosis dan Malaria. – UTUSAN ONLINE











