ALOR SETAR 9 Julai – Golongan belia di negeri ini masih ditakrifkan kepada individu yang berusia 15 hingga 40 tahun buat masa ini, namun ia akan dikurangkan secara berperingkat kepada 30 tahun menjelang 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Asmirul Anuar Aris berkata, langkah itu tidak boleh dilaksanakan segera memandangkan beberapa aspek penting perlu diteliti dalam tempoh terdekat bagi memastikan keputusan terbabit menguntungkan semua pihak.
“Keputusan itu (turun kepada usia 30 tahun) adalah satu tindakan tepat bagi melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang mampu membuat keputusan besar di peringkat nasional.
“Kita akan sahut apa yang diputuskan kerajaan Persekutuan, tetapi di Kedah setakat ini masih kekal usia 40 tahun untuk belia sebelum kita mungkin turunkan kepada 35 pada tahun depan dan 30 tahun pada 2021,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Rabu lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.
RUU itu diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang selepas ia dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam perkembangan sama, Asmirul Anuar turut bersetuju dengan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam yang bersetuju untuk mendaftarkan secara automatik anak muda berusia 18 tahun sebagai pengundi.
Katanya, ia akan menyerlahkan keupayaan anak-anak muda untuk membuat pembaharuan di samping mengetengahkan idea-idea baharu yang sebelum ini disekat pihak tertentu. – UTUSAN ONLINE










