KENINGAU 9 Julai – Ketiadaan bekalan air bersih yang dialami penduduk Kampung Sondukut dan kawasan sekitarnya, kira-kira 11 kilometer dari sini sejak 30 tahun lalu akan diatasi berikutan jaminan diberikan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony.
Pengerusi Majlis Perundingan Komuniti Kampung (MPKK) Raymond Sutal berkata jaminan menteri itu sangat penting untuk penduduk di sini yang mengharapkan agar ia menjadi realiti pada tahun ini kerana kemudahan bekalan air bersih akan melancarkan kehidupan harian mereka.
Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau berkata sejak lebih 30 tahun yang lalu penduduk di kampung itu bergantung sepenuhnya kepada air hujan untuk pelbagai kegunaan disebabkan tidak ada akses bekalan air bersih.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Panagatan Ulu Aneh Dalusim berkata, bekalan air bersih secara kekal sangat penting kepada penduduk di situ memandangkan ketika musim kemarau penduduk sangat sukar untuk memperoleh bekalan.
Katanya ada juga penduduk terpaksa mengorek perigi untuk mendapatkan sumber air dan ada juga yang berjalan kaki jauh untuk mendapatkan bekalan air dari sungai.
Peter ketika menghadiri sambutan Aidilfitri di Bingkor hujung bulan lepas berkata beliau akan memberi perhatian khusus mengenai masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung Sondukut.
Katanya masalah itu sudah lama dihadapi penduduk kampung dan kerajaan negeri baru menyedarinya serta usaha mengatasinya sedang dibuat. – BERNAMA











