Banteras bom ikan: 10 lelaki ditahan, 95 bot diperiksa - Utusan Malaysia

Banteras bom ikan: 10 lelaki ditahan, 95 bot diperiksa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 9 Julai – Polis menahan 10 orang dan memeriksa 95 bot nelayan dalam operasi yang dijalankan bagi membanteras kegiatan bom ikan di perairan Semporna, di sini sehingga semalam.

Omar Mammah
Omar Mammah 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, operasi tersebut juga dilaksanakan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam insiden dua pelancong warganegara China dan seorang jurulatih selaman yang maut akibat bom ikan di perairan itu pada Jumaat lepas.

Menurutnya, operasi tersebut membabitkan Pasukan Polis Marin dan sedang giat dilaksanakan di perairan timur Sabah yang turut meliputi kawasan perairan Kunak dan Lahad Datu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sepuluh orang yang ditahan disebabkan tiada dokumen pengenalan diri dan diserahkan kepada Polis Daerah Semporna untuk siasatan lanjut.

“Siasatan juga dilakukan jika mereka terlibat dalam aktiviti mengebom ikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Omar berkata, biarpun tiada saksi melihat ketika insiden itu berlaku, siasatan polis berhubung punca kematian tiga mangsa itu adalah disebabkan bom ikan berasaskan beberapa faktor.

Katanya, individu yang ke tempat kejadian untuk membantu menyelamat tiga mangsa itu melihat buih air keluar dari dalam air laut.

“Beberapa ekor ikan juga ditemukan mati di kawasan itu dan terdapat batu karang pecah termasuk terdapat beberapa serpihan batu karang menindih salah seorang mangsa warganegara China itu,” jelasnya.

 

Tambahnya, proses bedah siasat ketiga-tiga mangsa akan dilakukan hari ini di Hospital Tawau, di sini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini