JITRA 9 Julai – Seramai lima orang pesawah di Kampung Pulau Maharaja, Tunjang di sini, merayu pihak-pihak berkenaan supaya segera menyelesaikan masalah ‘bendang termenung’ dihadapi mereka ekoran pembinaan sistem pengairan yang dibina lebih tinggi berbanding sawah padi sejak tahun lalu.
‘Bendang termenung’ adalah istilah digunakan penduduk setempat untuk sawah padi yang sentiasa digenangi air.
Berikutan itu, pesawah berkenaan sukar menabur dan menyulam benih padi sekali gus menyebabkan hasil yang boleh dituai oleh mereka lebih lambat sehingga tiga ke lima bulan berbanding di kawasan lain.
Menurut pesawah, Azmi Mat Napiah, 57, ini kali pertama dia berhadapan masalah tersebut selepas sistem saliran itu siap dibina pada hujung tahun lalu.
“Saya terpaksa menabur dan menyulam benih lebih daripada dua kali kerana air yang masuk ke petak sawah tidak dapat keluar dan bertakung, dahulu ada struktur yang membolehkan air dibuang atau dimasukkan namun ia telah ditutup.
“Sudah beberapa kali benih padi mati akibat tenggelam ekoran masalah sistem pengairan itu, saya hairan tidakkah pihak yang terlibat mengkaji terlebih dahulu faktor muka bumi di kawasan ini?,” soalnya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Ahmad Hashim, 67, dan beberapa rakannya pula berhadapan dengan masalah sebaliknya apabila sistem saliran itu lebih rendah berbanding petak sawah.
“Kami perlu mengepam air dari kawasan saliran untuk mengairi petak sawah, malah kadang-kala saya terpaksa menyekat saliran itu bagi membolehkan air masuk ke dalam bendang saya,” katanya.
Dalam pada itu, Shukor Ahmad, 54, berkata, petani di situ juga berdepan dengan masalah laluan asal yang digunakan lori, mesin dan traktor sebelum ini telah ditutup untuk projek saliran berkenaan.
“Dulu ada sebatang jalan di sini yang memudahkan para petani, tetapi mereka dah buang jalan itu sehingga menyukarkan kami untuk lalu, harap pihak berkenaan melihat semula laluan tersebut,” katanya.
Justeru, mereka berharap agensi berkenaan terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dapat turun sendiri bagi melihat situasi sebenar yang dihadapi para petani. – UTUSAN ONLINE











