LONDON – Roger Federer, Novak Djokovic dan Rafael Nadal tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir Wimbledon selepas masing-masing menunjukkan kehebatan ketika menentang lawan yang jauh lebih mudah.
Federer menjadi pemain tertua untuk mara ke suku akhir Grand Slam dalam tempoh 28 tahun dan itu merupakan kali ke-17 dia menempatkan diri dalam kelompok lapan pemain terakhir.
Juara lapan kali itu mengatasi pemain Itali, Matteo Berrettini 6-1, 6-2, 6-2 dalam tempoh 74 minit sekali gus mara ke suku akhir ke-55 dalam kejohanan Grand Slam.
Federer juga melakar kemenangan ke-99 di Kelab All England.
Pada usia 37 tahun dia menjadi pemain tertua mara ke suku akhir kejohanan itu selepas Jimmy Connors yang beraksi ketika berumur 39 tahun di Terbuka Amerika Syarika (AS) pada 1991.
Federer akan bertemu pemain Jepun, Kei Nishikori untuk menempah tiket ke separuh akhir kejohanan selepas dia menewaskan Mikhail Kukushin dari Kazakhstan dengan kemenangan 6-3, 3-6, 6-3, 6-4.
Juara bertahan dan pemain No. 1, Djokovic mudah mengetepikan cabaran pemain dari Portugal, Joao Sousa 6-2, 6-2, 6-2. Di akan bertemu David Goffin dari Belgium.
“Saya berada dalam keadaan terbaik, hari ini (semalam) saya boleh membaca pergerakkan lawan dan mudah membuat pukulan,” kata Federer yang berkemungkinan bertemu Nadal di separuh akhir. Nadal akan bertemu Sam Querrey dari AS di suku akhir. – AFP











