JERANTUT – Seorang wanita terbunuh selepas keretanya dihempap sebatang pokok di Kampung Lata Kasah, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu, Farah Liana Safri, 27, dari Kampung Sungai Badak, di sini meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, mangsa menaiki kereta Perodua Viva bersama kakaknya untuk pergi ke pusat bandar.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu oleh kakak mangsa telah dihempap oleh sebatang pokok yang tumbang berhampiran Masjid Kampung Lata Kasah,” katanya.
Menurut beliau, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Jerantut untuk dibedah siasat.











