KUALA LUMPUR 8 Julai – HSBC Malaysia memperkenal platform Pembiayaan Rantaian Pembekalan HSBC (HSCF), satu fasiliti yang membolehkan pelanggan memuat naik invois yang diluluskan bagi memindahkan fail asas serta sebagai hos keperluan.
Ketua Negara Perbankan Komersial HSBC Malaysia, Andrew Sill berkata, pelanggan boleh menghantar invois yang diluluskan termasuk fail bayaran kepada bank melalui HSCF pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Katanya, ini akan mempercepatkan proses pembayaran kepada pembekal.
“Ia bukan sekadar pantas, platform tersebut memberikan keterlihatan kepada pembekal mengenai status invois pembeli yang diluluskan daripada HSBC, walaupun pembekal bukan pelanggan HSBC secara langsung.
“Kami sentiasa mencari jalan baharu bagi memanfaatkan teknologi untuk menyediakan pelanggan dengan produk digital serta perkhidmatan yang mudah, selesa dan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
HSCF merupakan tambahan terkini ke dalam kemampuan urus niaga digitalnya, yang akan membantu menyokong aspirasi negara ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia untuk menyumbang sehingga 41 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2020.
Platform HSCF mencerminkan komitmen bank itu untuk memenuhi permintaan pelanggan di era digital yang sentiasa berkembang, di mana keselesaan, kelajuan dan kefleksibelan adalah norma baharu.











