LONDON 8 Julai – Kerana mulut, badan binasa. Ungkapan ini sesuai ditujukan kepada pemain Itali, Fabio Fognini yang mungkin berdepan didenda gara-gara berkata ‘bom patut meletup di kelab (All England) ini’ ketika sedang marah dalam perlawanan pusingan ketiga Wimbledon Sabtu lalu.
Fognini bertemu pemain Amerika Syarikat (AS), Tenneys Sandgren yang menang 6-3, 7-6, 6-3 sewaktu mengeluarkan kata-kata tersebut sebelum kemudiannya meminta maaf kepada pihak penganjur.
“Adakah adil (bagi saya) bermain di sini? Memang Inggeris celaka, betul-betul celaka. Harap ada bom meletup dalam kelab ini. Patut bom diletupkan di sini,” Fognini kedengaran berkata ketika dalam gelanggang.
Ketua eksekutif Kelab All England, Richard Lewis menyelar tingkah laku Fognini itu, tetapi menerima permohonan maaf pemain tersebut, namun, tidak dikenakan denda agak mustahil dielakkan.
“Ini salah satu komen panas yang dibuat. Ia satu komen yang spontan dan Fabio memang wajar meminta maaf dengan segera. Bagaimanapun, itu tidak mengejutkan saya jika ada denda kecil dikenakan ke atasnya.
“Kami anggap dia tidak maksudkannya, malah kami bersedia menerima permohonan maafnya,” kata Lewis yang menjelaskan ini bukan kes pertama berlaku pada kejohanan Grand Slam di gelanggang rumput tersebut.
Sebelum ini pemain Australia, Bernard Tomic ditarik balik hadiah wang kemenangannya kerana sengaja bermain di bawah kemampuan sebenar ketika aksi pusingan pertama yang berlangsung hanya dalam masa 58 minit.
Sebagai rekod, pemain yang kalah di pusingan pertama akan menerima 45,000 pound (RM233,550) sebagai hadiah wang tunai. – AFP











