LONDON – Bekas bintang Jerman, Lothar Matthaus tidak dapat menerima tuduhan dan tingkah laku Manuel Neuer, yang menyifatkan Bayern Munich sudah tidak hebat seperti dahulu, dan sedia untuk berhijrah dari kelab tersebut.
Neuer menjadi pilihan utama di Bayern ketika cergas tetapi dia dikatakan sedang mempertimbangkan untuk berpindah dari Allianz Arena, atas alasan kelab gergasi Jerman itu tidak bersungguh dalam pasaran perpindahan bagi mengukuhkan skuad itu.
Ejen penjaga gol itu, Thomas Kroth, memberitahu kepada akhbar Jerman, Suddeutsche Zeitung bahawa Bayern telah jauh ketinggalan di belakang pesaing utama mereka di Eropah, dengan pemain berusia 33 tahun itu mungkin berhijrah ke pasukan baharu bagi memburu kemenangan kedua Liga Juara-Juara dalam kerjayanya.
“Dia ingin memenangi Euro 2020 dan dia mahu memenangi Liga Juara-Juara sekali lagi.
“Manuel hanya tumpukan kepada kejayaan. Pandangan saya, empat kelab teratas Liga Perdana Inggeris tampak gah dan hebat, sementara Bayern masih belum mencapai tahap kompetetif dan tidak mengambil serius berhubung misi Manuel.
“Apabila dia (Neuer) menyedari Bayern tidak seperti dulu, dia mungkin mahu berhijrah.
“Bagaimanapun sikap dia tidak boleh diterima. Sebagai kapten Bayern, dia sepatutnya bercakap kepada kelab jika dia mempunyai masalah dengan pasaran perpindahan,” kata Matthaus.- AGENSI











