PASIR GUDANG 8 Julai – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan membekalkan semula kesemua 111 buah sekolah di kawasan ini dengan alat pengesan gas sehingga Sabtu depan.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan pihak sekolah terus melakukan pemantauan kualiti udara secara harian.
“Sebelum ini, bacaan diambil sebanyak empat kali dalam tempoh sehari, namun pada kali ini, pihak sekolah akan diminta untuk membiarkan alat pengesan gas itu beroperasi 24 jam.
“Ini akan membolehkan bacaan diambil secara lebih lengkap,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah beliau, sebagai langkah pemantauan jangka masa panjang, pihak industri akan membekalkan kesemua 111 sekolah dengan alat pengesan gas berkenaan selepas minggu depan. – UTUSAN ONLINE











