SHAH ALAM 8 Julai – Kemelut politik dalaman PKR ekoran penyebaran video seks sejenis yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan memberi kesan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, walaupun ada suara yang melahirkan kebimbangan tersebut.
Exco Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, sekalipun isu itu mencetuskan ‘ribut’ tetapi ia bukan satu masalah yang tidak boleh diselesaikan, sehingga terpaksa mengheret kepimpinan negeri atau Kerajaan Selangor kerana pergeseran adalah adat resam berpolitik.
“Tidak (ditanya tentang kesan kepada kepimpinan kerajaan negeri), sebab kita sudah lalui. Sesiapa yang bermain politik di Selangor, 10 tahun mereka timba pengalaman bersamaan 20 hingga 30 tahun di negeri lain. Apa yang tidak pernah berlaku di Selangor?
“Tukar Menteri Besar, tukar kerajaan, tukar Exco, Exco tinggal empat sahaja, Exco kena pecat, pergeseran untuk melantik Menteri Besar dan krisis dengan pakatan tetapi kita tetap menang dalam tiga Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau diminta mengulas apakah isu yang melanda Mohamed Azmin bakal memberi kesan kepada kerajaan negeri khususnya kedudukan Menteri Besar, Amirudin Shari itu sendiri, kerana beliau selama ini dilihat mesra dengan Timbalan Presiden PKR tersebut.
Sebagai rekod, pertukaran Menteri Besar Selangor bukanlah sesuatu yang pelik dan sejak negeri ini diterajui PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri disingkirkan daripada jawatan berkenaan menerusi ‘langkah Kajang’ bagi menabalkan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tetapi rezeki akhirnya berpihak kepada Mohamed Azmin.
Mohamed Azmin seterusnya dilihat memainkan peranan besar khususnya dengan pihak istana, dalam memastikan Amirudin mengisi kekosongan ditinggalkannya walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri cenderung memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr. Idris Ahmad.
Dalam pada itu, Khairuddin yang meninggalkan Pas dan memilih untuk bersama PKR berkata, rakyat Selangor sebenarnya tidak terlalu kisah tentang siapa memimpin kerajaan negeri kerana apa yang penting bagi mereka adalah soal kebajikan mesti dilaksanakan.
“Saya yakin dalam apa juga persepsi yang wujud melihat kepada isu politik semasa, ia bergantung kepada apa kerajaan nak buat, parti ini barangkali, sesetengah orang dia tak peduli pun parti mana yang memerintah asalkan dia terus mendapat kebajikan.
“Dia tak peduli pun siapa Menteri Besar asal dia dapat kebajikan, sebab itu saya tekankan kelangsungan sesebuah kerajaan itu banyak bergantung pada soal kebajikan kepada rakyat,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE











