KUALA LUMPUR 8 Julai – Program SME Bank 90-Days Biz Challenge anjuran SME Bank Berhad berjaya meraih keuntungan bersih sebanyak RM102,829.26 dalam tempoh empat bulan pertandingan.
SME Bank 90-Days Biz Challenge bermatlamat melahirkan lebih ramai usahawan muda daripada golongan belia di samping mendidik dan memupuk para pelajar politeknik dan kolej komuniti dalam bidang keusahawanan.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, keuntungan bersih tersebut merupakan jumlah terkumpul daripada 20 finalis program berkenaan.
“Ini satu permulaan yang baik memandangkan para peserta pertandingan ini masih lagi belajar dan tidak mampu menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan yang dijalankan.
“Selain itu, terdapat juga juara-juara edisi terdahulu seperti SMT Empire Resources dan Annisaa Enterprise masih meneruskan perniagaan mereka walaupun telah menamatkan pengajian. Ini menunjukkan perkembangan yang positif dalam bidang keusahawanan belia negara,” katanya dalam Majlis Penyampaian Hadiah SME Bank 90-Days Challenge di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











