PORT DICKSON – Sebuah kedai KK Mart di Telok Kemang dekat sini disamun dua lelaki bersenjatakan pisau dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, salah seorang suspek memakai apron warna merah jambu semasa melakukan jenayah itu.
“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.04 pagi.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati salah seorang suspek memakai t-shirt lengan panjang warna biru, apron warna merah jambu dan topi kelabu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, seorang lagi suspek didapati menunggu dalam sebuah kereta jenis Proton Saga FLX di luar premis itu.
Menurut beliau, suspek mengambil wang tunai sebanyak RM1,500 dari peti tunai di bahagian kaunter premis itu sebelum melarikan diri.
Jelas beliau, semasa kejadian terdapat dua pekerja di premis berkenaan namun mereka tidak dicederakan oleh suspek.
“Usaha mengesan suspek terlibat sedang giat dilakukan. Kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE











