JOHOR BAHRU – Tiga syarikat kontraktor perkhidmatan kutipan sisa binaan masing-masing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah membuang sisa pepejal di kawasan yang tidak dibenarkan di sekitar Johor Bahru dari Julai 2018 hingga Januari tahun ini.
Hakim Wan Mohd. Nor Hisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman itu ke atas Toh Loh Construction Sdn. Bhd., Nine Three Three Renovation (amp) Enterprise dan CK Kim Trading selepas ketiga-tiga syarikat itu, melalui wakilnya, mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim.
Toh Loh Construction, yang diwakili pengarahnya, Chung Hoong Kong, didakwa melonggokkan bahan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal binaan di dua lot tanah di Mukim Plentong pada 17 Julai 2018 pada pukul 3.15 petang.
Bagi pertuduhan kedua pula, syarikat terbabit melonggokkan bahan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal isi rumah di kawasan lot yang sama pada waktu yang sama.
Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 71 (8) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali. – Bernama











