KUALA LUMPUR – Menunda tarikh konsert sulungnya, penyanyi Elyana menjelaskan keputusan ini tidak ada kena mengena dengan tahap kesihatannya.
Jelasnya, konsert Elyana Jadi Diriku 19 ‘Live in Concert’ yang sepatutnya diadakan pada Sabtu lalu, hanya akan diadakan November depan mengikut permintaan pihak produksi yang menguruskan konsertnya itu.
“Saya tidak tahu sebab sebenar mengapa ia ditunda memandangkan semuanya bergantung kepada pihak produksi. Tetapi ia tidak melibatkan masalah kesihatan saya kerana sehingga saat ini saya masih sihat.
“Saya tidak dapat pastikan tarikh sebenar konsert ini akan diadakan, cuma diberitahu akan berlangsung pada November depan sahaja,” jelasnya.
Ditanya sama ada kecewa konsertnya ini terpaksa ditunda, kongsi Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, dia positif.
Katanya, secara peribadi, penundaan ini juga turut melegakan dirinya memandangkan dia sendiri melihat tarikh 6 Julai itu terlalu singkat.
“Saya tidak kecewa sebabnya kalau lihat kita baru sahaja habis bukan Ramadan dan Syawal, jadi masing- masing juga masih dalam keadaan yang tidak sedia. Mungkin November lebih sesuai.
“Buat masa ini, saya sudah kongsikan berita penundaan ini dengan peminat saya melalui laman sosial. Peminat sendiri lega sebenarnya sebab ada yang sudah membeli tiket tetapi tidak boleh hadir pada 6 Julai lalu.
“Jadi bila tahu tunda ada yang seronok,” katanya yang baru menyambut hari lahir yang ke-32 tahun, Jumaat lalu.
Elyana ketika ini, masih menjalani proses rawatan kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya sejak lebih tujuh tahun lalu. -UTUSAN ONLINE











