Banjir: Melaka sedia dahulukan peruntukan RM10 juta - Utusan Malaysia

Banjir: Melaka sedia dahulukan peruntukan RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 8 Julai – Pendahuluan sebanyak RM10 juta akan dikeluarkan kerajaan negeri bagi membaik pulih dan menaik taraf tiga pintu kawalan air di muara Sungai Melaka untuk mengatasi bencana banjir yang kerap berlaku di negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pendahuluan tersebut akan digunakan sekiranya peruntukan daripada kerajaan Pusat belum diterima untuk kerja-kerja naik taraf pintu-pintu kawalan air yang tidak dapat berfungsi sepenuhnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan negeri masih menunggu peruntukan kerajaan Persekutuan sebanyak RM10 juta untuk memperbaiki pintu kawalan air di Sungai Melaka yang tidak dapat berfungsi sepenuhnya.

“Bagaimanapun, jika kelulusan itu mengambil masa terlalu lama, kerajaan negeri akan mencari jalan mendahulukan kos pembaikan tersebut kerana setakat ini empangan tersebut hanya dapat mengeluarkan air kira-kira 30 peratus sahaja,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir kilat di Melaka di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam di sini hari ini. Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob turut melawat 343 penduduk daripada 87 keluarga yang ditempatkan di PPS itu setakat pukul 12 tengah hari ini.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendi Ali berkata, sebanyak 1,117 mangsa daripada 250 buah keluarga ditempatkan di lapan PPS di daerah ini dan Melaka Tengah setakat tengah hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini