KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus melaksanakan operasi anti kotor dan mengeluarkan sebanyak 19 notis kesalahan kepada warga kota yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil dan meludah di Jalan Silang, di sini baru-baru ini.
DBKL dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pihaknya mengesan masih terdapat warga kota yang tidak mengendahkan isu kebersihan walaupun telah berulang kali menjalankan tindakan penguatkuasaan terutama di lokasi berkenaan.
“Dalam operasi ini, sebanyak 19 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Undang undang Kecil Larangan Meludah (WPKL) 2017.
“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan ini apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM500 sehingga RM2,000,” katanya. – UTUSAN ONLINE.











