KUALA LUMPUR – Berbaki kurang seminggu lagi Tampin Eco Challenge (TEC) 2019 anjuran Majlis Daerah Tampin dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) bakal berlangsung di Taman Xtreme Park, Negeri Sembilan.
Acara julung kalinya diadakan pada 13 dan 14 Julai itu telah menerima kira-kira 500 penyertaan yang melibatkan dua kategori iaitu Terbuka serta Badan Beruniform dan Kerajaan.
Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, penyertaan terbuka adalah terbuka kepada warga negara Malaysia sahaja dan yuran bagi kategori Terbuka sebanyak RM100 manakala Beruniform dan Kerajaan RM50.
Sebanyak tiga disiplin dipertandingkan iaitu berkayak sejauh 5 kilometer (km), berbasikal 50 (km)dan larian 20 km.
“Lebih menarik, selain acara utama, penganjuran kali ini juga akan melibatkan penyertaan orang ramai terutama masyarakat setempat melalui acara sampingan antaranya aktiviti pendakian Klinik Mendaki, Wall Climbing, Rock Climbing, Fyling Fox, Live Band, PS 4, Retro Mania dan Pameran serta jualan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, peserta berpeluang merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM8,200.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah dijangka disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Maklumat lanjut berkenaan acara itu boleh melayari laman sosial Facebook TEC 2019.-UTUSAN ONLINE











