MARAN – Jurulatih Felda United, Nidzam Jamil mengakui pasukannya wajib mengurangkan kesilapan ‘kebudak-budakan’ yang memberi kelebihan kepada The Red Giant mencipta jaringan, sekaligus tewas 1-2 kepada Selangor.
Dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak di sini semalam, Selangor membuka tirai jaringan menerusi Sandro Da Silva pada minit ke-44 sebelum penyerang import Ifedayo Olusegun melebarkan jurang gol kurang 10 minit kemudian.
Pada minit ke-63, The Fighters bangkit mencipta gol pertama menerusi tendangan cantik Jocinei Schad yang berjaya mengelirukan penjaga gol Mohd Khairulazhan Khalid.
“Mengeluarkan bola dari kawasan bahaya ialah perkara asas yang perlu dilakukan pemain sebaliknya mereka dilihat lebih gemar bermain secara dekat-dekat.
“Kita perlu ubah corak permainan ini kerana tidak akan selalu bernasib baik seperti bertemu Kedah sebelum ini yang menyaksikan pasukan kami bangkit selepas ketinggalan separuh masa pertama,” kata Nidzam kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Nidzam berkata kekalahan semalam menyebabkan The Fighters tidak boleh lagi kehilangan mata bagi empat perlawanan seterusnya sekiranya mahu ingin kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.- BERNAMA











