MARAN – Jurulatih Selangor, B. Satiananthan mengakui rasa selesa anak-anak buahnya selepas mendahului perlawanan menyebabkan mereka dikejutkan dengan jaringan daripada Felda United dalam saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak di sini, semalam.
Jelasnya skuad The Fighters bijak menggunakan peluang daripada kealpaan itu sehingga menyebabkan pertahanan skuad Red Giants goyah menerusi serangan balas mereka.
“Pemain sepatutnya tampilkan persembahan yang mudah kerana kita telah mendahului 2-0, sebaliknya mereka mahu bermain secara cantik di kawasan padat.
“Corak permainan begitu membawa kepada serangan balas lawan dan akhirnya Felda United mendapat banyak sepakan percuma dan sepakan sudut.
“Kita pula kerap kehilangan bola di bahagian pertahanan lawan sehingga mereka bangkit melakukan serangan balas dan berjaya mendapat gol,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan. Dalam perlawanan itu, Selangor mengalahkan Felda United 2-1.
Selangor membuka tirai jaringan menerusi Sandro Da Silva pada minit ke-44 sebelum penyerang import Ifedayo Olusegun melebarkan jurang gol kurang 10 minit kemudian.
Pada minit ke-63, The Fighters bangkit mencipta gol pertama menerusi tendangan cantik Jocinei Schad yang berjaya mengelirukan penjaga gol Mohd Khairulazhan Khalid.
Satiananthan berkata keupayaan pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil membaca dengan baik percaturan Selangor juga menggoyahkan benteng pertahanan mereka walaupun mengawal 30 minit permainan.- BERNAMA











