KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek menerima dengan hati terbuka keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mahu dirinya memberi fokus kepada pemain-pemain yang lebih muda.
Legenda badminton negara itu memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk melatih mana-mana pemain.
Beliau menyifatkan, tugasan yang diberikan kepadanya adalah kesinambungan daripada hasil usahanya selama dua tahun bersama badan induk sukan badminton negara itu.
“Saya hanya diberitahu mengenai perancangan ini dan saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjaga mana-mana pemain, janji saya ada tempat untuk menjaga mereka.
“Hendrawan diberi tanggungjawab menjaga empat pemain, saya terima dengan hati terbuka kerana bagi saya kerjasama pemain dengan jurulatih sangat penting dan secara keseluruhannya saya setuju dengan pembahagian tugasan ini,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.
Menerusi penstrukturan baharu sistem kejurulatihan BAM, Misbun diberi tugasan mengendalikan pemain muda termasuk Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Tan Jia Wei dan Ng Tze Yong manakala Hendrawan akan melatih Lee Zii Jia, Soong Joo Ven, Cheam June Wei dan Lim Chong King.-UTUSAN ONLINE











