SUNGAI PETANI 8 Julai – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Muda, berhampiran Sidam Kiri daerah Kuala Muda di sini, semalam, ditemukan mayatnya, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Muhamad Syukri Hashim berkata, mayat mangsa, Firdaus Abu Talib, 34, dari Jalan Sempadan, Nibong Tebal, Pulau Pinang, ditemukan kira-kira pukul 8.15 pagi.
“Mayatnya ditemukan kira-kira 350 meter dari tempat mangsa tenggelam dan hilang. Bomba melancarkan gerakan mencari mangsa setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.28 tengah hari.
“Mangsa dilaporkan lemas ketika sedang mandi bersama seorang rakannya di sungai itu kira-kira pukul 12 tengah hari,” katanya kepada pemberita.
Beliau menambah, mayat mangsa diserah kepada polis dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.
Sementara itu, rakan mangsa, Mohammad Faridzuan Mohd. Nor, 26, berkata ketika kejadian berlaku, mereka baru sahaja selesai membersihkan kawasan tanaman tebu di tepi sungai berkenaan.
“Kami mengambil upah menjaga kawasan tanaman tebu di sini dan ketika kejadian kami sedang berehat selepas membersihkan kawasan tanaman.
“Saya ajak dia mandi sebab cuaca panas dan ketika mandi, dia bergerak ke tengah sungai, saya nampak dia tenggelam timbul,” katanya. -UTUSAN ONLINE











