KUALA LUMPUR 8 Julai – Statistik yang diperoleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan hanya 40 peratus daripada sejuta syarikat yang didaftarkan di negara ini dimiliki bumiputera.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli berkata, ini menunjukkan golongan bumiputera masih lagi ketinggalan dalam bidang keusahawanan.
Dari statistik dan persepsinya, memang menunjukkan bumiputera agak ketinggalan.
“Punca-puncanya adalah disebabkan kurang latihan kemahiran keusahawan dan minda keusahawan. Selain itu, kurang dorongan dan minat untuk terokai bidang bidang dalam bidang keusahawanan.
“Terdapat juga sikap bumiputera yang terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan untuk jadi usahawan sebaliknya tidak menggunakan daya usaha mereka sendiri,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang meminta menteri menyenaraikan sebab bangsa Melayu atau bumiputera kurang menjadi usahawan dan mengapa masyarakat Cina ramai dalam bidang berkenaan.-UTUSAN ONLINE











