LYON – Amerika Syarikat (AS) memenuhi reputasinya sebagai ‘super star’ bola sepak wanita apabila merangkul Piala Dunia buat kali keempat selepas menumpaskan juara Eropah, Belanda 2-0 sebentar tadi.
Sepakan penalti ketua pasukan, Megan Rapinoe pada minit ke-61 dan rembatan cantik dari luar kotak penalti Rose Lavelle, lapan minit berselang memastikan AS muncul pasukan kedua selepas Jerman (2003, 2007) berjaya merangkul kejuaraan dua kali berturut-turut.
AS juga membuktikan, mereka tidak berada pada ranking No. 1 dunia untuk tempoh yang lama tanpa sebab apabila menguasai permainan, mencipta lebih banyak percubaan bahaya dan jauh lebih unggul berbanding Belanda.
“Sukar dipercayai. Perasaan saya bercampur baur ketika ini, ia sangat menakjubkan,” kata Rapinoe.
Walaupun ini adalah trofi keempat diraih AS selepas 1991, 1999 dan 2015, namun ia adalah yang pertama dilakukan di bumi Eropah.
Malah, AS juga adalah satu-satunya pasukan bukan Eropah yang berjaya melangkah ke suku akhir dalam kejohanan kali ini.
Kemenangan ini melengkapkan kegemilangan bola sepak wanita AS yang turut memegang rekod sebagai pasukan terbaik dalam Sukan Olimpik apabila memenangi empat pingat emas pada 1996, 2004, 2008 serta 2012. – AGENSI











