JOHOR BAHRU 7 Julai – Tindakan Jawatankuasa Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Gejala Sesak Nafas yang mahu menyaman beberapa agensi kerajaan mendapat perhatian kerajaan negeri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar, kerajaan negeri akan meneliti secara terperinci berkaitan tuntutan saman yang difailkan pihak berkenaan.
Jelas Mohd. Khuzzan, pihaknya sedia maklum dengan tuntutan tersebut dan akan mengambil tindakan berhubung perkara berkenaan.
“Saya telah maklumkan perkara ini (tuntutan saman) kepada Menteri Besar untuk tindakan selanjutnya. Bagaimanapun, satu perbincangan akan
diadakan oleh Menteri Besar dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Selasa ini.
“Perkara ini perlu dibincangkan secara bersama-sama dan perlu melihat semula tuntutan saman yang telah difailkan itu.
“Malah, turut dibincangkan mengenai kes gangguan sesak nafas yang berlaku di Pasir Gudang pada 20 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di
sini malam ini.
Beliau mengulas mengenai kerajaan negeri dan Menteri Besar antara 11 defendan yang dinamakan dalam tuntutan saman difailkan Jawatankuasa
Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Gangguan Sesak Nafas di Mahkamah Tinggi di sini pada 17 Julai ini.
Dalam tuntutan itu, Mohd. Khuzzan turut dinamakan sebagai defenden selain Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG). – UTUSAN ONLINE











