BARU berusia 19 tahun, namun gadis kelahiran Gombak, Kuala Lumpur ini mempunyai pengikut tersendiri dan semakin dikenali dalam arena media sosial.
Tidak mahu mensia-siakan kelebihan yang ada, Nur Dahiyah Mohamed Faiz mahu menyebarkan aura positif dalam kalangan rakan sebaya atas kapasitinya sebagai seorang selebriti media sosial.
Melihat kepada isu sosial yang semakin meningkat terutamanya dalam kalangan remaja, gadis genit ini berasa terpanggil untuk memainkan peranan dalam membendung masalah tersebut menggunakan platform media sosial.
Atas dasar itu, dia mula menyertai Girls Republique (GR), satu platform komuniti persaudaraan dan persahabatan bagi remaja wanita untuk mengetengahkan pendapat dan berkongsikan pengetahuannya dalam perihal isu semasa.
Semua itu disalurkan dalam program ‘podcast’ GR yang berkonsepkan program bual bicara yang membincangkan mengenai pelbagai perkara melibatkan remaja terutamanya gadis bersama rakan sebaya lain yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi GR.
“Sekarang ini, kita dapat melihat masalah sosial terutamanya melibatkan remaja semakin meningkat setiap hari. Jadi, perlu ada platform sebegini untuk membincangkan dan memberikan penyelesaian kepada permasalahan remaja.
“Memfokuskan kepada remaja wanita khasnya, kami mahu menyebarkan perkara positif kepada mereka dalam setiap episod siaran ‘podcast’.
Menerusi siaran ini, kami memberikan tip kepada remaja agar tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif yang akhirnya boleh memberikan kesan tidak baik untuk masa depan mereka,” katanya kepada Mega Rona.
Menurutnya, GR kini mempunyai lebih 200 ahli yang terdiri daripada remaja perempuan berusia antara 18 hingga 25 tahun.
Kesemua mereka saling mendapat manfaat daripada perkongsian yang dilakukan, selain bertukar-tukar pandangan dan pendapat untuk membentuk peribadi yang lebih baik.
Berteraskan konsep persahabatan dan persaudaraan itu juga, mereka mahu membentuk satu komuniti gadis yang mempunyai keyakinan diri, berfikiran positif serta menolak norma-norma negatif dalam kehidupan seharian.
“Tidak dinafikan dengan kemajuan internet pada hari ini, menjadikan segala-galanya hanya di hujung jari. Dalam media sosial sahaja, kita dapat melihat banyak perkara negatif yang ‘tular’ di sana dan sini.
“Jadi, kita mahu mendidik remaja supaya tidak menjadikan perkara-perkara negatif yang dilihat itu sebagai satu perlakuan yang normal dalam masyarakat,” jelasnya.











