KOTA BHARU 7 Julai – Co-opbank Pertama (CBP) mencatat pertumbuhan memberangsangkan di negeri ini apabila berjaya meningkatkan bilangan ahli sehingga 4,386 orang dengan saham berjumlah RM22 juta tahun ini.
Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari, kejayaan itu dicapai menerusi CBP cawangan Kota Bharu yang merupakan cawangan tunggal CBP di negeri ini sejak 2008.
Kata beliau, seiring dengan usaha CBP dalam meningkatkan capaian pelanggan di Kelantan, sebuah lagi cawangan bakal dibuka di Tanah Merah, November depan.
“Menerusi pembukaan cawangan di Tanah Merah, kita yakin dapat meningkatkan lagi capaian perkhidmatan kepada lebih 500,000 pelanggan,
“Ini sekali gus memberi kemudahan kepada lebih 800 koperasi di negeri ini dalam usaha mendapatkan pembiayaan khusus bagi sektor koperasi yang disediakan oleh CBP,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pembukaan Premis Baharu CPB cawangan Kota Bharu di Kubang Kerian, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi CBP, Nor Hidayah Omar; Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd. Nor Abdul Razak dan Pengurus Cawangan Kota Bharu, Amirul Ridzuam Abd. Razak.
Kamari Zaman memberitahu, CPB cawangan Kota Bharu amat konsisten dengan kadar pertumbuhan melebihi 70 peratus setiap tahun dalam aspek pengeluaran pembiayaan, pengambilan deposit serta pengeluaran Ar-Rahnu.
“CBP mendapat tempat di hati penduduk Kelantan kerana kami menyediakan produk dan perkhidmatan perbankan berlandaskan syariah, sekali gus menjadi alternatif terbaik kepada bank-bank lain yang sedia ada,” katanya.
CBP sebelum ini dikenali sebagai Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Bhd (Co-opbank Persatuan) bertukar nama susulan kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi mendaftarkan pindaan undang-undang kecil Co-opbank Persatuan.
Cawangan Kota Bharu merupakan cawangan tunggal CBP di Kelantan dan yang ke-11 di seluruh negara. Cawangan tersebut sebelum ini beroperasi di Wakaf Che Yeh sejak 2008 sebelum berpindah ke Kubang Kerian tahun ini. – UTUSAN ONLINE











