SEOUL – Seorang pelajar warga Australia yang dibebaskan setelah ditahan di Korea Utara, dikatakan `mengintip’ negara tersebut.
Alek Sigley, 29, yang dilaporkan hilang hampir dua minggu lalu hingga menimbulkan kebimbangan mengenai nasibnya, dibebaskan dan telah menaiki penerbangan ke Jepun pada Khamis lalu.
Agensi berita KCNA melaporkan, Sigley mengaku melakukan perbuatan itu dengan mengumpul maklumat dalam negara tersebut serta mendedahkannya kepada pihak lain.
Jelas laporan itu, pelajar itu turut berulang kali meminta pengampunan dari Korea Utara kerana telah melanggar kedaulatan negara itu.
Sigley yang merupakan antara warga barat yang tinggal dan belajar di Pyongyang, telah ditahan pada 25 Jun lalu kerana mempromosikan propaganda mengenai negara itu dalam talian, termasuk kepada portal NK News, yang telah menafikan dakwaan tersebut.
“Sigley didapati beberapa kali menyalurkan maklumat yang dikumpulkannya kepada agensi berita itu ketika melawat sekitar ibu kota Pyongyang dengan menggunakan statusnya sebagai pelajar antarabangsa.
“Ia termasuk menyalurkan gambar dan analisis,” jelas laporan itu.
Penahanan Sigley berlaku beberapa hari sebelum pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.- AFP.











