MARANG 6 Julai – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo tidak bersetuju dengan langkah UMNO dan Pas mewujudkan gandingan kerjasama politik di bawah Penyatuan Ummah kerana pendekatan itu dianggap tidak mencerminkan komposisi lebih terancang dalam konteks politik semasa di negara ini.
Sambil menyifatkan kerjasama seperti itu hanya membuang masa, beliau sebaliknya mencadangkan agar kedua-kedua parti orang Melayu itu mestimemikirkan suatu perkara yang jauh lebih besar ke hadapan, iaitu untuk menerajui pucuk pemerintahan negara.
Justeru itu katanya, UMNO dan Pas jangan gunakan Penyatuan Ummah sebaliknya mereka perlu mewujudkan sebuah gagasan yang dinamakan Penyatuan Rakyat antara Barisan Nasional (BN) dan Pas, bukannya UMNO dan Pas.
“Saya kurang bersetuju kalau dibuat Penyatuan Ummah hanya melibatkan UMNO dan Pas kerana apabila kerjasama seperti ini dibuat, sudah pasti orang yang pro BN khususnya Cina dan India tidak akan terlibat, kalau kita ingin menjadi kerajaan dan ingin memerintah negara, kita mesti juga kena melibatkan semua bangsa iaitu Melayu, Cina dan India.
“Adakah kita ingin lupakan begitu sahaja bangsa lain sedangkan berapa ramai yang ada di negeri-negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Kita mungkin tiada masalah dan boleh menang di Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis dan Kedah, tetapi bagaimana di negeri lain, kita tidak boleh untuk memerintah negara sekiranya perkara ini tidak diperbetulkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Marang di Angulia Beach Resort di sini, petang ini.
Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku; Ketua Wanita UMNO negeri, Toh Puan Zaitun Mat Amin dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Marang, Zul Fadli Rozi.
Mohamad Khir berkata, menerusi pendekatan baharu penyatuan BN-Pas itu, soal kepentingan negara dan agama dari komposisi lebih besar perlu diberi perhatian bagi mendepani DAP yang semakin jelas merosakkan perpaduan kaum di negara ini.
“Kita mungkin tiada masalah untuk menang di Terengganu, Kelantan, Perlis, Pahang dan Kedah, jadi UMNO dan Pas kena pastikan kesemua kerusi di lima negeri ini menang besar dalam PRU dengan mengadakan gerakan Penyatuan Rakyat selain mencari formula bagaimana untuk menawan hati rakyat tanpa memburukkan pihak lain. – UTUSAN ONLINE











