PASIR MAS 6 Julai – Hanya orang bodoh yang masih mengamalkan budaya berpuak-puak dalam UMNO termasuk mewujudkan kem-kem tertentu dan melaga-lagakan pemimpin-pemimpin utama parti.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketika keadaan parti masih lemah, kewujudan kem-kem dan amalan berpuak-puak sebegitu hanya menguntungkan pihak lawan.
“Dalam UMNO sekarang patut sudah tidak ada kem-kem lagi dah, tidak ada mengadu domba dan melaga-lagakan pemimpin. Kalau ada yang cuba kata ini kem Zahid, ini kem Tok Mat, ambo kata orang itu bodoh!
“Kita dah kalah, jadi pembangkang, apa faedahnya buat kem? Patut ada satu kem sahaja dalam parti, bukan kem Zahid, bukan kem Tok Mat tetapi kem UMNO dan siapa sahaja jadi Presiden, kita mesti taat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pasir Mas, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hariri Mohamed Noor dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Abdul Ghani Harun.
Ketika ditemui selepas majlis tersebut, Asyraf Wajdi berkata, beliau menekankan perkara itu kerana mahu menyeru ahli parti belajar daripada kesilapan lalu yang menyebabkan UMNO telah dihukum rakyat.
Katanya, soal perbezaan pendapat perkara lumrah, namun parti tidak mendapat sebarang faedah jika pihak tidak sependapat itu terus bertelagah dan mengajak pula orang lain untuk menyertai mereka.
Beliau menambah, dalam situasi politik sekarang, dua perkara perlu diberi fokus oleh UMNO ketika ini iaitu mengukuhkan perpaduan dalaman parti serta mengukuhkan hubungan dengan Pas.
“Kalau kita berjaya, UMNO dan Pas akan jadi pembangkang efektif dalam menyuarakan denyut nadi rakyat, sekali gus menjadi alternatif kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE











