KUANTAN 6 Julai – Kerjasama atau ta’awun antara UMNO dan Pas ketika ini diyakini meningkatkan sokongan masyarakat Felda terhadap dua parti terbesar orang Melayu itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebanyak 53 peratus pengundi Felda menyokong UMNO manakala 35 peratus lagi mengundi Pas.
“Jika dicampurkan, UMNO dan Pas akan mendapat kira-kira 90 peratus sokongan di Felda sahaja pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“ Jadi, parti-parti Pakatan Harapan (PH), parti ‘bunga’ tinggal berapa peratus sahaja lagi. 10 peratus sahaja lagi, jadi terkial-kial. Memang tiada tempat, yang terbesar pasti UMNO dan Pas, kita ada kekuatan luar biasa,” katanya ketika berucap pada Program Santai Boss Kawan bersama Ahli Parlimen Pekan anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Pekan di Pantai Merchong di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff; ADUN Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun; Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd. Nizar Najib dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, kerjasama antara UMNO dan Pas merupakan senjata ampuh yang boleh melonjakkan dua parti terbesar itu pada PRU akan datang.
“Detik 9 Mei 2018 merupakan satu detik hitam, mimpi ngeri yang menghantui kita. Tetapi di sebalik kekalahan itu ada hikmah yang Allah SWT tentukan. Satu hakikatnya bahawa umat Islam dan agama Islam boleh terancam jika parti Islam (UMNO dan Pas) tidak bekerjasama untuk memastikan Islam terus diletakkan di tempat tertinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











