KUALA LUMPUR 6 Julai – Langkah kerajaan menurunkan had umur belia kepada 30 tahun adalah tidak wajar sekali gus menyukarkan usaha menyelaraskan pergerakan organisasi terutama di peringkat akar umbi.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (Gema), Nasim Ralim berkata, perkara itu tidak akan membantu mana-mana pihak.
Menurutnya, kerajaan sebaliknya disarankan menyemak semula keputusan dan melakukan penyelidikan dibawah Kementerian Belia dan Sukan bagi membantu membangunkan organisasi belia yang sedia ada.
“Pemuda GEMA tidak merasakan langkah menurunkan umur belia ini akan membantu lebih ramai mendaftarkan diri dengan pertubuhan, malah semakin menyukarkan usaha memimpin dan mengurus organisasi terutamanya di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini pindaan Rang Undang Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 atau Akta 668 pindaan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Nasim turut menyokong kenyataan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha yang tidak bersetuju dengan pindaan tersebut kerana kerajaan membuat keputusan itu tanpa persetujuan akhir pertubuhan tersebut.
Menurutnya, Gema menyokong penuh memorandum khas MBM yang akan diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan itu untuk menurunkan had umur belia kepada 35 tahun. – UTUSAN ONLINE











