KANGAR – Wang simpanan Tabung Haji dua wanita termasuk orang kelainan upaya (OKU) lesap selepas sejumlah wang tersebut dikeluarkan seorang saudara tanpa pengetahuan mereka sejak awal tahun lalu.
Mangsa yang merupakan wanita warga emas berusia 80 tahun dan wanita OKU masalah pembelajaran berusia 43 tahun masing-masing mengalami kerugian sebanyak RM40,000 dan RM38,500.
Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, kedua-dua mangsa menyedari wang simpanan mereka berkurangan pada 20 dan 25 Jun lalu sebelum membuat laporan polis.
“Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bertindak menahan seorang wanita berusia 53 tahun di sebuah rumah di sini semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, dua kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dipercayai milik mangsa turut dirampas semasa tangkapan dilakukan.
“Hasil siasatan mendapati suspek yang merupakan seorang suri rumah telah mengeluarkan wang mangsa menggunakan kad ATM secara berperingkat sejak awal tahun lalu hingga pertengahan
tahun ini,” ujarnya.
Menurut Noor Mushar, siasatan juga mendapati mangsa sebelum ini pernah meminta tolong suspek untuk mengeluarkan wang simpanan mereka.
“Sejak dari itu, suspek mengambil kesempatan mengeluarkan wang simpanan tersebut tanpa pengetahuan mereka,” katanya.
Ujarnya, warga emas dan wanita OKU terbabit masing-masing merupakan ibu saudara dan anak saudara kepada suami suspek.
Tambahnya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali. – K! ONLINE











