KUALA TERENGGANU 6 Julai – Percaya atau tidak, ‘Umno dan Pas’ memang adik-beradik.
Bagaimanapun Umno dan Pas yang dimaksudkan ini bukanlah parti politik sebaliknya dua beradik dari Kampung Pak Katak di sini yang memiliki nama cukup unik iaitu, Mohd. Umno Abd. Ghani, 42, dan adiknya, Roszifahti, 38, atau lebih mesra dipanggil Pas.
Mohd. Umno yang merupakan anak kelapan daripada 11 beradik berkata, nama itu diberikan oleh bapa saudaranya, Said Hassan ketika mendaftarkan kelahirannya pada 1 November 1977.
Katanya, dia tidak menyedari tentang keunikan namanya itu sehinggalah memasuki tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal apabila kalangan guru lazimnya bertanya beberapa kali untuk memastikan kesahihan namanya.
“Mungkin orang dulu-dulu nak tinggalkan kenangan atau tunjukkan semangat dan sokongan terhadap parti UMNO jadi dia (pak cik) namakan saya dengan nama Mohd. Umno.
“Masa itu saya pun tidak tahu, rupa-rupanya nama saya sama seperti parti yang memerintah negara, yang saya tahu orang panggil saya Umno atau Meno,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurut Mohd. Umno, pada tahun 1990, ketika dia berusia 12 tahun, ibu bapanya memutuskan menukar namanya kepada Mohd. Nor dan proses itu berjalan lancar tanpa menerima banyak persoalan daripada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Sebenarnya, saya tak kisah dengan nama Umno. Walaupun dah tukar nama, tetapi kalangan kawan-kawan yang tahu cerita lama itu masih memangil abang Umno atau Meno hingga kini.
“Selain saya Umno, adik saya pula digelar Pas. Nama betulnya, Roszifahti tetapi dipanggil Fah dan lama-kelamaan bunyinya bertukar menjadi Pas mungkin sebab nak padankan dengan nama saya,” katanya.
Bapa kepada lapan anak itu berkata, perasaannya cukup bangga sekiranya berada dalam program-program anjuran UMNO, bagaimanapun dia berasa serba salah jika berada di majlis Pas kerana bimbang persepsi orang yang menganggap dia sebagai orang kuat UMNO.
“Tetapi, sebenarnya saya tak kisah pun sebab saya bergaul dengan semua orang tanpa mengira Pas atau UMNO,” katanya. – UTUSAN ONLINE











